Wahai sahabat-sahabatku sekalian. Janganlah kiranya anda suka mengumpat kerana dosa mengumpat ini amatlah besar sehinggakan ia tidak akan mendapat pengampunan dari Allah kecuali anda meminta ampun dengan saudara yang diumpat itu.
Ada beberapa petikan hadis yang mungkin boleh menginsafkan anda yang suka mengumpat:
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina.
Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.
“Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum
diampun oleh orang yang diumpat” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri..."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Maksud hadis itu dengan jelas membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai belum beriman dengan hatinya biarpun lidahnya mengaku beriman.
Orang mengumpat bakal dimalukan biarpun dia berada di rumahnya sendiri. Kesan buruk mengumpat boleh menyebabkan perbalahan dan perasaan tidak senang dalam masyarakat.
Perasaan iri hati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada perbuatan mengumpat. Ia mungkin boleh merebak sehingga mencetuskan huru-hara dan pembunuhan.
Mengumpat juga boleh berlaku ketika bergurau dan melawak apabila menggunakan perkataan atau perbuatan melambangkan keburukan seseorang.
Rasulullah S.A.W. pernah menegur Siti Aishah kerana berkata "alangkah pendeknya perempuan itu" kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W.
Kata-kata itu turut dianggap mengumpat kerana menyebut kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilkannya.
Ini bermakna kita tidak boleh memanggil seseorang dengan panggilan menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak atau buncit.
Tetapi masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan panggilan 'mesra'. Kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah.
Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering..."
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat
catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata
kepada Allah “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini,
sedangkan aku tidak pernah melakukannya”.
Maka Allah menjawab :”Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa
engkau ketahui”.
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat sudah tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.
FIRMAN ALLAH
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah Al-Hujurat Ayat-12)
Maksud Mengumpat Dalam Sabda Rasulullah S.A.W :
"Adakah kamu tahu, apakah yang dikatakan dengan mengumpat itu?" Mereka menjawab, "Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui." Sabda Baginda, ialah kamu menceritakan tentang saudara kamu sesuatu yang dia tidak suka. Ada sahabat yang mengatakan,"Apa pandangan tuan, kalau sekiranya apa yang saya ceritakan itu memang terdapat pada saudara saya itu?." Sabda Baginda, "Sekiranya apa yang kamu katakan itu memang ada pada saudara kamu, bermakna kamu mengumpatnya dan jika tidak ada, bererti kamu membohonginya."
(Sahih, Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini dapat difahami bahawa yang dikatakan mengumpat adalah menceritakan tentang perihal saudara anda sesuatu yang dia tidak suka apabila mendengarnya, sama ada yang menyentuh tubuh badan, agama, dunia, diri, akhlak, mahupun bentuk kejadiannya. Ia mempunyai berbagai-bagai bentuk. Antaranya ialah anda menceritakan keaibannya atau meniru sesuatu perbuatannya dengan tujuan mempersendakannya. Malangnya masyarakat masa kini terlalu mengambil ringan di dalam perkara mengumpat ini, walaupun ia adalah sesuatu perkara yang jelek dan buruk di sisi Allah S.W.T. Ini dapat dibuktikan dengan sabda Rasulullah S.A.W : "Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling rendah sekali dosanya seperti seorang lelaki menyetubuhi ibunya sendiri dan riba yang paling teruk sekali ialah seorang lelaki mencemarkan kehormatan saudaranya sendiri."
(Sahih, Riwayat Al-Tabrani)
Wajib ke atas seseorang yang hadir di dalam sesuatu majlis mencegah perkara mungkar dan mempertahankan saudaranya yang diumpat. Rasulullah S.A.W menggalakkan umatnya untuk berbuat demikian. Sabda Baginda :"Sesiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya, Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka, pada hari kiamat kelak."
(Sahih, Hadis Riwayat Ahmad)
6 PERKARA MENDORONG SESEORANG MENGUMPAT MENURUT IMAM AL-GHAZALI
“Kalau aku nak mengumpat, aku hanya akan mengumpat ibuku sendiri”-kata Imam al-Ghazali. Begitu halus pemikiran Imam al-Ghazali itu..Perkataan ‘kalau’ tu bukan la menunjukkan Imam al-Ghazali buat, tapi oleh kerana mengumpat seseorang itu akan menyebabkan pahala orang yang mengumpat akan diberikan kepada orang yg diumpat, maka lebih baik umpat ibu sendiri kerana pahala akan diberikan kepada ibu…daripada diberikan kepada orang yang tidak ada kaitan dengan kita..tapi jangan la pula pakat mengumpat ibu sendiri plk nanti..itu hanya perumpamaannya sahaja.
Sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain dilaknat oleh Allah. Mereka yang bersikap demikian, secara disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain yang hukumnya berdosa besar.
Ketika berbual, sama ada secara sengaja atau tidak, mereka menceritakan keburukan ketuanya,
jiran, saudara mara dan orang yang lalu di hadapan mereka.Firman Allah bermaksud : “ Hai orang yang beriman, kalau datang kepada kamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatamu itu. “ (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Al- Thabrani daripada Abu Hurairah bermaksud : “ Yang paling dikasihi Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesame saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah.
Imam Al- Ghazali ada menyebut 6 perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat :
1) Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain.Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam
2) Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang
3) Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah
4) Disebabkan dengki, iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, ia seperti dinaikkan gaji dan pangkat
5) Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain dan
6) Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
Harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar serta hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.
No comments:
Post a Comment