Wednesday, May 11, 2011

BILA ANDA TERLALU BANYAK MENGKRITIK

Mengkritik itu baik dan menegur kesalahan orang lain itu baik. Namun kritikan yang didasari oleh niat untuk mencari-cari kesalahan orang lain tak mungkin dapat mempermudahkan keadaan. Anda tak perlu menghabiskan waktu dan tenaga anda untuk menilai apakah orang lain telah membuat salah atau benar. Kerana itu sangat mudah! Yang sulitnya adalah melihat kesalahan diri sendiri. Berhati-hatilah bila anda begitu pandai mengkritik. Takut anda tak lagi mampu melihat kebenaran. Sebuta-buta orang ialah mereka yang tak boleh menangkap cahaya kebenaran.
 
Sekali anda gembira kerana menemui sebutir debu kesalahan orang lain, anda akan tergoda untuk mendapatkan yang sebesar kerikil. Begitulah seterusnya, sehingga tanpa disedari anda telah mencipta segunung kesalahan orang. Orang tidak akan suka memakai kacamata cermin yang memantulkan kekurangan wajahnya. Maka dari itu janganlah anda menjadi bayangan ke atas kesalahan orang lain. Bantulah mereka mencari sudut positif dari diri mereka. Di saat itu, orang lain pula akan memantulkan sudut baik dari diri anda sendiri. 


JANGAN HANYA MAHIR MEMBERI PENDAPAT
 

Ramai orang mahir memberikan pendapat tetapi agak kurang yang mahir dalam menerima pendapat yang berbeza. Ungkapan ini membuatkan saya berfikir bahawa sesetengah orang memang bijak memberikan buah fikiran untuk sesuatu hal. Tetapi apabila berdepan dengan situasi berbeza pendapat, kebanyakannya terlalu ego untuk bertolak-ansur dengan pandangan orang lain dan apatah lagi untuk menerima pandangan orang lain itu. Rasanya sesetengah orang perlu sedar
bahawa ada waktunya kita perlu bertolak-ansur dengan pandangan orang lain atau sekurang-kurangnya mendengar pandangan orang lain. Mungkin pendapat kita lebih baik daripada pandangan orang lain tetapi adalah lebih bijak untuk mengambil kira buah fikiran orang lain juga. 


Keadaan ini memberikan gambaran tentang sikap rasa rendah diri kita terhadap orang lain dan inilah sifat yang membuatkan kita lebih dihormati. Tetapi jika seseorang itu bersifat ego dan tidak mahu bertolak-ansur, maka orang akan cenderung menganggap orang itu sombong dan tidak layak untuk dihormati. Oleh itu, janganlah hanya mahir memberikan pendapat tetapi berusahalah juga untuk mahir di dalam menerima pendapat orang lain.

No comments:

Post a Comment